Prof. Dr. Kamal Hassan , IIUM Ex-Rector, Said…
DALAM satu pertemuan dengan Mingguan Malaysia baru-baru ini, Prof. Dr.
Kamal Hassan sambil tersenyum mengakui beliau kini telah menemui dirinya yang sebenar.
Ada riak gembira di sebalik kata-katanya. Jika boleh disamakan,
kegembiraan itu ibarat jasad yang mendapat rohnya semula.
Dan semestinya Dr. Kamal mempunyai sebab tersendiri tentang perkara tersebut.
"Saya tidak mahu jadi rektor. Dari dulu lagi saya tidak mahu. Sebab
saya tahu saya tidak mampu memberikan kepimpinan yang mempunyai
kecemerlangan menyeluruh.
"Saya tahu kelemahan diri saya. Dan saya juga tahu, saya manusia
akademik. Manusia akademik mempunyai keterbatasannya," katanya kepada
wartawan SITI MARIAM MD. ZAIN dan jurugambar ZAKI JILAN ketika ditemui di
pejabatnya di Gombak, baru-baru ini.
Justeru kehadiran tanggal 5 April lalu memang amat dinanti-nantikan.
Tarikh keramat itulah beliau secara rasminya melepaskan jawatan sebagai
Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Pelik. Jika orang lain berusaha untuk mengekalkan jawatan mereka, Dr.
Kamal sebaliknya. Tetapi itulah realiti diri beliau. Baginya tugas
rektor di sebuah universiti Islam antarabangsa memang cukup berat.
Sebagai ahli akademik, anak kelahiran Kelantan ini tidak pernah
sedetik pun melupakan dunianya biarpun 15 tahun berlalu.
Selain menjalankan kerja-kerja pengurusan sebagai rektor sejak tujuh
tahun lalu, beliau juga adalah bekas Timbalan Rektor (Akademik) di UIAM
selama lapan tahun.
Tentang perasaannya kini, Dr. Kamal tanpa ragu-ragu berkata,
"Perasaan saya begitu lega kerana tidak lagi memikul beban dan tanggungjawab
yang sangat berat."
Beliau lebih selesa kembali kepada dunia asalnya - sebagai tenaga
pengajar di UIAM.
Menjawab tentang impiannya terhadap UIAM, katanya,
"Di kalangan negara-negara Islam, nama UIAM sudah terkenal dan
mempunyai reputasi yang sangat baik. Tetapi UIAM belum lagi menjadi yang
terbaik di dunia. Itu impian saya."
Apa perasaan Prof. sekarang?
Bersyukur kepada Allah kerana mendapat kesempatan yang
ditunggu-tunggu sekian lama iaitu kembali ke lapangan akademik sepenuh masa. Saya kini tidak terlibat lagi dengan pentadbiran universiti yang begitu
mencabar dan memeningkan kepala (ketawa). Perasaan saya begitu lega kerana
tidak lagi memikul beban dan tanggungjawab yang berat dan berasa selesa
dapat menemui semula diri akademik saya.
Pada Prof., tugas rektor merupakan satu tugas yang amat berat dan
mencabar?
Memang. Sangat berat dan sangat mencabar. Sebab ini sebuah universiti
antarabangsa. UIAM juga sebuah universiti Islamik. Kedua-dua sifat ini
mempunyai implikasi yang sangat besar untuk menjadi antarabangsa.
Sebuah universiti memerlukan banyak perkara untuk merealisasikan tahap,
taraf dan kualiti antarabangsanya. Untuk menjadi Islamik juga memerlukan
kualiti dan sumber daya manusia serta komitmen yang sangat mencabar.
Kalau boleh saya tambah, mungkin dalam bidang pengurusan lain,
seorang pengurus berasa bertanggungjawab hanya kepada kuasa di atasnya iaitu
manusia (ketua). Tetapi dalam pengurusan sebuah institusi Islamik, kita
harus berasa bertanggungjawab kepada Allah terlebih dahulu kemudian
baru manusia. Itu yang menjadikan ranjau begitu hebat. Ia menjadi lebih
mencabar apabila berlaku kontradiksi antara harapan manusia dengan apa
yang diharapkan Allah.
Jika diberi pilihan selepas melalui pelbagai pengalaman yang mencabar
ini, adakah Prof. akan tetap memilih menjadi rektor?
Saya tidak mahu jadi rektor. Dari dulu lagi saya tidak mahu. Sebab
saya tahu saya tidak mampu memberikan kepimpinan yang mempunyai
kecemerlangan menyeluruh. Saya tahu kelemahan diri saya. Dan saya juga tahu,
saya manusia akademik. Manusia akademik mempunyai keterbatasannya. Sebab
itu sewaktu saya menjadi timbalan rektor, saya pernah ditanya oleh
rektor ketika itu siapa yang sepatutnya menggantikan beliau? Saya sebut nama
orang lain yang saya fikir lebih mampu daripada saya. Dari luar negara
dan dalam negara. Saya tidak membayangkan bahawa saya akan menjadi
rektor.
Apabila saya bertugas di Washington (Georgetown University) sebagai
pemegang kerusi Islam di Asia Tenggara, di akhir 1998, saya didatangi
oleh rektor pada waktu itu - Dr. Abdul Hamid Abu Sulayman mengatakan dia
ingin kembali ke Amerika Syarikat (AS) dan mencadangkan saya
menggantikannya. Saya kata, saya tidak akan menggantikan beliau. Saya tidak mahu berada dalam sepatunya kerana saya tahu tugasnya berat sedangkan
harapan semua pihak tinggi menggunung. Saya mencadangkan nama orang lain.
Bagi saya kalau orang ini jadi rektor, saya bersedia bekerja di bawahnya.
Saya sebagai pembantu okey, sebagai pemimpin, tidak okey (ketawa).
Prof. kesal menerima pelantikan ini?
Saya tidak menyesal sebab ini saya anggap telah ditakdirkan. Saya
menghadapi tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin. Tetapi sebelum penggal
pertama, saya bertekad tidak mahu sambung. Saya memberitahu teman-teman
di UIAM dan presiden tentang ini. Tetapi apabila ia menjadi heboh
diketahui umum, pelbagai pihak menuntut supaya saya sambung lagi sepenggal.
Saya terpaksa akur dengan tekanan dan permintaan semua pihak waktu itu.
Saya memberitahu, selepas penggal kedua, saya tidak akan sambung
penggal ketiga. Saya hendak pulang kepada pekerjaan akademik sepenuh masa.
Ini juga diketahui oleh teman-teman lalu mereka berusaha menyambung
tanpa pengetahuan saya lagi. Rupa-rupanya perkara ini sampai ke pengetahuan orang penting dan saya diminta untuk terus sambung bagi penggal ketiga. Saya tiada pilihan lain.
Dalam penggal ketiga, saya kata, saya tidak akan dapat dipujuk untuk
meneruskan lagi tugas berat ini, saya tidak mahu lagi menjadi rektor.
Saya sebenarnya telah berjanji pada diri - pada umur 60 tahun, saya
mesti berhenti dari tugas pengurusan universiti. Tetapi hasrat saya itu
tidak dapat dipenuhi. Ditakdirkan Allah, 63 tahun setengah baru berakhir.
Justeru, segala permintaan, pujuk rayu, desakan, saya tolak dengan tegas.
Bagaimana Prof. melihat produk UIAM?
Saya membahagikan produk UIAM kepada lima jenis. Yang pertama, produk
dalam bentuk ilmu pengetahuan dan program- program pengajian akademik
berdasarkan kurikulum UIAM. Dalam hal ini, kami mengeluarkan produk yang
agak unik kerana ilmu pengetahuan yang kita hasilkan itu merupakan
gabungan antara ilmu yang relevan, keterampilan profesional yang diperlukan
dan nilai-nilai akhlak sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Jadi produk-produk kami akan diwarnai metadologi gabungan ataupun integrasi antara tiga faktor tadi. Produk kedua ialah penulisan ilmiah dan penyelidikan. Dalam hal ini kita perlu peningkatan kerana 20 tahun dalam sejarah UIAM, kita lebih banyak menumpukan kepada aspek pengajaran. Sekarang, sejak tahun 2000, kita mula memberi perhatian lebih serius kepada aspek ini.
Ketiga, kepakaran dan keterampilan staf akademik. Kita merasakan
masyarakat dan pasaran memerlukan kepada unsur-unsur ini. Keempat, ialah
kegiatan kemasyarakatan di kalangan mahasiswa dan juga para akademik
umpamanya seminar antarabangsa dan kegiatan kokurikulum para pelajar untuk
membantu memenuhi tuntutan masyarakat. Itu saya ingat di tahap biasa
tetapi boleh diperbaiki. Kelima, produk yang paling penting ialah
mahasiswa. Ini boleh dibahagikan kepada dua peringkat - siswazah dan
pascasiswazah. Secara keseluruhan, produk- produk UIAM mempunyai keunikan dari segi gabungan atau integrasi yang disebutkan tadi. Saya percaya pasaran
kerja memerlukan produk unik UIAM dan masyarakat serta umat Islam di
seluruh dunia boleh mendapat manfaat daripada produk-produk yang
dihasilkan. Alumni-alumni UIAM di Bosnia, Afrika, China dan Asia Tenggara
mendapat sanjungan yang tinggi dalam masyarakat masing-masing. Pertubuhan
Persidangan Islam (OIC) dan Bank Pembangunan Islam (IDB) juga
menghargai tenaga pengajar dan mahasiswa UIAM.
Sejauh mana Prof. fikir telah berjaya merealisasikan objektif UIAM ini dan apakah cabaran paling besar yang dihadapi?
Universiti ini seperti sebuah kapal yang sedang menuju ke destinasi yang sangat jauh. Kalau kita berikan sejarah atau perjalanan UIAM kepada tiga tahap - penubuhan, pembangunan dan kematangan, kita berada di tahap kedua. Kesempurnaan itu belum tercapai. Dan kesempurnaan yang disebut dalam misi UIAM ialah dapat disimpulkan dalam tiga perkataan iaitu ‘Kecemerlangan Yang Menyeluruh´. Itu akan memerlukan masa yang lebih panjang.
Justeru cabaran paling besar yang saya hadapi dalam merealisasikan
objektif ini dapat disimpulkan kepada lapan jenis. Cabaran pertama,
menukar set minda tempatan kepada antarabangsa - baik di kalangan mahasiswa
dan tenaga pentadbir. Kedua, menukar budaya kerja - daripada tidak
cemerlang kepada cemerlang dan antarabangsa. Ketiga, menukar penggunaan
bahasa Melayu kepada Inggeris dan Arab sebagai bahasa pengantar. Keempat,
menukar polarisasi perkauman kepada integrasi ummatik. Kelima, menukar
kesedaran bangsa kepada berumat secara universal.
Keenam, cabaran mencari, mengekalkan dan menambah tenaga pengajar
akademik yang berkualiti. Ketujuh, cabaran mencari sumber kewangan yang
mencukupi sama ada dari dalam dan luar negara. Kelapan, cabaran
menghadapi persepsi birokrasi dan politik di luar UIAM yang menyulitkan kerana
kadang-kadang orang tidak mengetahui sejarah, misi, permasalahan dan
keutamaan UIAM. Yang paling besar ialah mencapai kecemerlangan menyeluruh.
Kecemerlangan dalam bidang akademik sahaja boleh kita capai.
Kecemerlangan dalam bidang fizikal boleh dicapai. Tetapi kita hendak juga
kecemerlangan rohani, sosial dan sebagainya.
Prof. puas hati dengan apa yang dilakukan selama menjadi rektor?
Secara umumnya, boleh dikatakan banyak perkara yang belum sempurna.
Oleh itu banyak yang saya belum dapat merasakan kepuasan. Saya bahagikan
ini kepada lapan tugas yang dapat kita lakukan. Kalau tugas pertama
iaitu pembangunan fizikal, pada umumnya saya berasa puas hati. Umpamanya
pembangunan kampus Gombak yang indah, berkat sumbangan dan sokongan
kerajaan sewaktu pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan juga Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi. Begitu juga pembangunan kampus di Kuantan dengan
bangunan fakulti perubatan yang begitu indah. Juga kemudahan sukan untuk
wanita di kampus ini. Tetapi saya amat tidak berasa puas dengan kedudukan pusat matrikulasi di Petaling Jaya yang sekarang ini mempunyai 6,000 pelajar - ia satu keadaan yang menimbulkan kesesakan dan boleh menjejaskan konsentrasi pembelajaran.
Aspek kedua ialah integrasi. Dalam hal ini, banyak yang saya masih
tidak puas hati. Begitu juga integrasi akademik masih banyak yang perlu
dilakukan. Ketiga, saya ingin mengemukakan satu perkataan yang mungkin
dilihat pelik atau baru iaitu `Islamikasi´. Maksudnya, proses menjadikan
sesuatu itu Islamik. Jadi proses Islamikasi atau pengislamikasian ini
masih belum sempurna. Keempat ialah kewangan, saya amat tidak puas hati
sama ada dari luar ataupun dalam negara. Kelima, pembangunan minda dan
sahsiah pelajar. Dalam kes tertentu boleh dikatakan puas hati, katakan
10 peratus pelajar yang mencapai kecemerlangan memenuhi misi integrasi
dan keantarabangsaan UIAM. Yang 90 peratus lagi saya tidak puas hati.
Keenam, peningkatan tenaga akademik dari segi kualiti, jumlah dan
pelantikan dari luar negara. Ini juga saya amat tidak puas hati. Ketujuh,
penyelidikan. Kelapan, imej atau jenama UIAM, pun saya belum puas hati.
Ini satu masalah besar kerana umumnya orang menganggap universiti Islam ialah sebuah institusi yang memberi fokus kepada ilmu-ilmu agama sahaja. Persepsi ini perlu diubah.
Jika ada kekesalan yang Prof. hadapi sebagai rektor, apakah kekesalan
itu?
Saya kesal dengan sikap dan tindakan orang luar UIAM yang tidak mengerti keunikan misi UIAM. Dan orang luar ini termasuk orang awam, orang politik dan pegawai kerajaan. Kerana UIAM lahir pada 1983 dan orang kerajaan, orang parti, orang awam yang mengikuti perkembangan, mengetahui keunikan kami. Tetapi mereka yang kemudian, tidak memahaminya.
Kedua, orang dalam UIAM, termasuk pelajar, tenaga akademik, pentadbir
yang tidak mahu melakukan perubahan-perubahan yang diperlukan untuk
mencapai mutu antarabangsa - UIAM menjadi sebuah universiti yang
betulbetul global atau glokal, untuk menjadi umatik, cemerlang, teladan tentang
kerahmatan dan keislahan Islam kepada dunia. Ini menimbulkan kekesalan.
Prof. telah berkhidmat selama 23 tahun dan akan terus menyambung
perkhidmatan. Apa yang dapat Prof. katakan tentang ini?
Peluang untuk kembali kepada dunia akademik sepenuh masa merupakan
suatu lembaran baru yang menyegarkan kepada saya. Ibarat seorang yang
keluar dari bilik berhawa dingin yang tertutup kepada padang yang luas
dengan udara nyaman serta alam sekitar yang menghijau. Saya berdoa kepada
Allah semoga memberi saya peluang di penghujung hayat ini untuk menyumbang yang sebaik-baiknya di dunia dan akhirat.
Apa antara pengalaman paling menggembirakan yang pernah Prof. lalui
selama ini?
Apabila mendengar tentang pencapaian pelajar di arena antarabangsa.
Umpamanya dalam pertandingan debat. Tahun 2001, dalam Debat Bahasa
Inggeris Antarabangsa di Sydney, UIAM mengalahkan banyak universiti Barat
dan mendapat tempat ketujuh. Begitu juga dengan pencapaian kita dalam
satu perdebatan undang-undang antarabangsa di Washington D.C. tahun 2005.
Kita mengalahkan puluhan universiti AS dan Eropah untuk mendapat tempat
kedua.
Pengalaman yang juga menggembirakan ialah waktu kampus ini secara
rasmi dibuka pada tahun 2001 oleh Tun Dr. Mahathir. Banyak orang tidak
tahu walaupun pada waktu itu kita sudah wujud kira-kira 16 tahun, tetapi
UIAM tidak pernah dirasmikan pembukaannya kerana kita berada di sebuah
kampus sementara di PJ yang kawasannya kita sewa daripada pihak lain.
Pengalaman paling pahit?
Waktu saya memangku sebagai rektor, saya tidak diberitahu UIAM pada
1997/98, mengalami defisit sebanyak RM37 juta. Mungkin kalau diberitahu,
saya tidak akan menjadi rektor (senyum). Saya tidak mahu terima sebab
hutang atas bahu saya. Apabila saya menjadi rektor baru orang beritahu.
Jadi ini pengalaman yang paling pahit (ketawa) - susah nak tidur bila
memikirkannya. Jadi terpaksalah saya berjumpa dengan Menteri Kewangan
ketika itu - Tun Daim Zainuddin, Pak Lah, Datuk Mustapa Mohamed
(Pengerusi MTEN) untuk menyuarakan masalah ini. Kedua, peristiwa tsunami
menyebabkan kematian beberapa pelajar kami dari Aceh dan Sri Lanka.
Kenangan yang tidak dapat dilupakan?
Saya mendapat undangan daripada Menteri Haji Arab Saudi untuk
menghadiri seminar antarabangsa di Mekah yang kemudian berpindah ke Mina. Di
Mina, saya diberitahu bahawa Amir Abdullah (Raja Muda) yang sekarang ini
Raja Arab Saudi akan hadir dan saya ditugaskan menyampaikan ucapan
dalam bahasa Arab bagi pihak semua delegasi. Saya tertanya-tanya kenapa
saya. Ramai lagi orang lain. Itu yang paling mencemaskan. Alhamdulillah,
saya dapat memberikan ucapan itu walaupun dengan perasaan yang
berdebar-debar. Rasa macam nak pengsan waktu itu (ketawa). Juga kenangan ketika berada dalam kaabah. Saya tenggelam dengan air mata. Rasa macam dalam mimpi.
Keputusan paling sukar pernah diambil?
Saya terpaksa sambung kerja sebagai rektor (ketawa). Apabila mendapat
tekanan dari dalam dan luar, saya terpaksa akur.
Cara Prof. berdepan dengan masalah?
Tempat saya bergantung pertamanya kepada Allah. Kedua kepada manusia.
Saya akan menyuarakan masalah saya kepada Allah. Selepas solat, saya
akan bermunajat. Kadang-kadang sewaktu ke Mekah, sama ada buat umrah,
haji ataupun seminar, di depan Kaabah, saya mencurahkan perasaan memohon
bantuan Allah sebab saya tahu saya manusia kerdil, banyak kelemahan,
ketidakmampuan dan keterbatasan.
Sekiranya ada impian yang belum tertunai, apakah impian tersebut?
Agar UIAM menjadi satu-satunya tempat rujukan atau pusat antarabangsa
serta tempatan bagi ilmu pengetahuan dan penyelesaian bersepadu selain
UIAM menjadi universiti Islamik yang terbaik di dunia.
Apa makna kegembiraan bagi Prof.?
Kegembiraan yang hakiki ialah mendapat keredaan Allah. Biarpun
manusia tidak suka, tidak merestui, tidak menghargainya, tetapi kalau sesuatu
itu mendapat keredaan Allah, itulah makna kegembiraan bagi saya.
Harapan kepada rektor yang baru?
Supaya individu yang dilantik menjadi rektor nanti mestilah anak
tempatan yang berwawasan global. UIAM pada saat ini tidak mungkin dapat menerima seorang rektor yang bukan orang Malaysia. Kerana sudah terbukti bahawa orang Malaysia boleh memimpin universiti ini. Dan kedua, orang yang bukan rakyat tempatan sukar memahami keadaan, jangkaan, peraturan,
undangundang dan dasar negara ini. Orang luar biasanya juga tidak kekal di sini. Mereka datang hanya sementara dan kemudian akan ke tempat lain. Kadang-kadang hanya menjadikan UIAM sekadar tempat persinggahan atau batu loncatan sahaja.
Sukar untuk kita mencari orang luar yang mahu bekerja kekal di sini selain faham polisi kerajaan dengan baik dan boleh berinteraksi dalam bahasa kita dengan baik. Sebab itu saya kata bahawa komuniti UIAM tidak dapat menerima orang luar. Kita mengharapkan anak Malaysia yang Muslim, berwatak global dan mengetahui sejarah, menghayati misi UIAM dan telah berada di UAIM sekian lama selain memahami aspirasi dan dasar-dasar kerajaan. Syarat utama ialah kesetiaan kepada misi UIAM dan ikhlas bekerja untuk kepentingan universiti bukan kepentingan diri.